KUALA LUMPUR, 12 Mei – Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) menjana ekuiti Bumiputera sebanyak RM7.1 bilion menerusi pelaburan berjumlah RM5.1 bilion dalam 49 syarikat portfolionya, dengan hasil terkumpul mencecah RM5.7 bilion sejak penubuhannya.
Syarikat itu turut merekodkan jumlah nilai pemegang saham sebanyak RM8.5 bilion, disokong prestasi portfolio yang terus kukuh dan berkembang.
Prestasi berkenaan turut dipacu pengukuhan portfolio strategik, termasuk sektor penjagaan kesihatan yang meningkat kepada 29 peratus daripada portfolio aktif Ekuinas pada 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar berkata, pencapaian syarikat pada 2025 mencerminkan evolusi berterusan Ekuinas sebagai pelabur modal persendirian bersepadu yang menyokong syarikat pasaran pertengahan Malaysia dalam pelbagai peringkat pertumbuhan.