KUALA LUMPUR 14 Mei – Isu bilangan kapal tangki petroleum yang amat terhad di Asia kini menjadi pemangkin utama pertumbuhan pendapatan Orkim Berhad dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
RHB Research berkata, situasi itu bukan sahaja meningkatkan penggunaan kapal, malah mengukuhkan kuasa tawar-menawar oleh pengendali kapal tempatan untuk mendapatkan kadar sewaan lebih tinggi.
Justeru, syarikat ini berada pada kedudukan strategik memanfaatkan keadaan pasaran semasa susulan asas pendapatan berulang yang kukuh dan hubungan jangka panjang dengan pengeluar minyak utama.
“Bekalan kapal tangki dan kimia yang semakin ketat di benua ini dijangka menyokong kadar sewaan lebih baik serta meningkatkan keterlihatan pendapatan Orkim sendiri,” katanya dalam nota analisis.
Firma penyelidikan itu berkata, aliran perdagangan petroleum serantau turut dilihat adalah kekal kukuh walaupun masih lagi berdepan ketidaktentuan geopolitik dan harga bahan api lebih tinggi.
Menurut RHB Research, peningkatan kebergantungan tinggi Filipina terhadap import produk petroleum selepas rasionalisasi penapisan turut mewujudkan lebih banyak peluang penghantaran intra-Asia….