KUALA LUMPUR: Syarikat pengangkutan marin, Orkim Bhd menerima kapal terbaharunya, Orkim Garnet, sekali gus menjadikan armadanya kepada 19 buah kapal dan meningkatkan jumlah kapasiti muatannya kepada 253,036 tan berat mati (dwt).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata Orkim Garnet yang sebelum ini dikenali sebagai Rich Sunda, merupakan kapal tangki Jenis II Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) yang dibina pada 2026 dengan kapasiti berat mati 13,850 tan (mt).
“Direka untuk mengangkut produk petroleum bersih (CPP) dan produk kimia, Orkim Garnet dijadualkan memulakan pelayaran carter sulungnya dalam masa terdekat,” kata makluman itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Orkim, Kapten Cheah Sin Bi, berkata Orkim Garnet membolehkan kumpulan itu berkembang dalam pengangkutan kimia dan minyak sawit, sekali gus merebut peluang dalam perdagangan serantau yang lebih meluas.